Monday, April 30, 2012

CIRI-CIRI KEPIMPINAN ISLAM



BismillahHirRahman NirRahim

Assalamulaikum….,



Kepimpinan Yang Matang, Berwibawa Dan Berkeahlian.

Kepimpinan Islam hendaklah kepimpinan yang terbaik. Ini bermakna kepimpinan yang berwiba, matang, dihormati, berkebolehan, berilmu, beramanah, cekap dan dedikasi. Kepimpinan yang beriman, berakhlak mulia dan berpegang teguh kepada syariah semata-mata tidak menjamin tercapainya matalamat kepimpinan yang dimaksudkan, walaupun akidah, syariah dan ahlak Islam dihayatinya.

Hadis meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Zar mengenai kepimpinan yg bermaksud :

“Sesungguhnya ianya adalah amanah, sesungguhnya ianya pada hari kiamat satu kehinaan dan penyesalan melainkan orang-orang yang mengambilnya (kepimpinan itu) dengan HAK dan menyempurnakan hak tersebut dengan sebenarnya” (Riwayat Muslim),

Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda bermaksud:

“Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah kehancuran. Sahabat bertanya: Bagaimana cara mensia-siakannya..?, Rasulullah SAW menjawab, apabila sesuatu jawatan diserahkan kepada orang-orang yang bukan ahlinya (layak), maka tunggulah saat kehancurannya..” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Dalam melaksanakan amanah, Islam meletakkan kepentingan melantik seseorang yang terlayak dikalangan yang layak dan terbaik dikalangan yang terbaik. Justeru itu dalam pembincangan kepimpinan ternyata Rasulullah SAW menggariskan panduan yang perlu diikut..walaupun sahabat baginda Abu Zar seorang sahabat yang tidak dipertikai keimanan dan keislamannya, berakhlak dan penghayatan syariahnya, namun untuk jawatan kepimpinan beliau tidak sesuai..

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang kamu ambil bekerja ialah orang yang kuat dan amanah” (Surah Al-Qasas:26)

Orang yang sesuai dan berkebolehan didalam sesuatu tugas tertentu adalah lebih baik. Berwibawa dan berkemampuan untuk melaksanakan tugas tersebut dan kuat serta bersifat al-amin adalah penting dijadikan asas didalam melaksanakan sesuatu urusan. Maka dalam hubungan kepimpinan, sifat al-amin ini lebih penting lagi dijadikan asas kepimpinan.

Kekuatan kepimpinan seperti yang dikehendaki oleh Islam termasuklah kematangan, kewibawaan, keberkesanan, kecekapan dan kepakaran. Kepimpinan Islam ialah kepimpinan yang adil dan beramanah. Tidak dikatakan seseorang itu sebagai pemimpin yang cekap dan berwibawa jika ia tidak bersifat amanah.



Allah berfirman bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukuman atas manusia, Allah SWT menyuruh kamu menghukum dengan adilnya”..(Surah An-Nisa:58)

Jelas Allah SWT dengan tegas memerintahkan agar kita menyerahkan segala jenis amanah kepada orang yang berhak menerimanya dalam ertikata luas danmenyeluruh, memberikan hak kepada yang berhak dan meletakkan hak ditempatnya yang wajar.

Didalam hubungan kepimpinan pula ialah menyempurnakan tanggungjawab dan tuntutan kepimpinan dengan cekap, ikhlas dan sempurna.

Perintah Allah SWT bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, jangan kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahuinya..” (Surah Al-Anfal:27)

Demikian Allah memerintahkan agar kita tidak curang dan khianat terhadap amanah Allah, Rasul, kamum Muslimin dan sesiapa saja.

Wassalam

TITAH DIJUNJUNG MEMPERKASAKAN RAKYAT

Dr Haji Mohd Hatta Bin Haji Zainal Abidin PSB, PJP