Wednesday, July 29, 2009

25 TAHUN MERDEKA...?


Alhamdulillah, semenjak 25 tahun negara kita (Brunei Darussalam) merdeka, kita sentiasa berada dalam perlindungan Allah SWT. Secara amnya kita tidak mengalami apa-apa mala-petaka besar dan apa jua dugaan telah dapat kita atasi dengan jayanya. Sepanjang 25 tahun tersebut kita telah dapat mengekalkan kedaulatan, keamanan dan kemakmuran negara. Kehidupan rakyat keseluruhannya semakin bertambah baik dari sebelumnya. Walaupun ada ketikanya suasana politik antarabangsa tidak menggalakkan, namum kita masih dapat mempertahankan kedudukan kita sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat, aman dan makmur.

Kita hendaklah sedar bahawa sepanjang perjalanan 25 tahun kemerdekaan, negara kita seharusnya telah mencapai taraf negara membangun dan maju sebanding dengan negara-negara membangun dan maju dirantau ini. Ini kerana negara kita adalah sebuah negara yang kaya (hasil dari minyak dan gis), disamping kestabilan dan kemantapan politik, mempunyai dasar luar yang menyakinkan negara-negara serantau dan antarabangsa dalam bidang politik, ekonomi dan sebagainya serta mempunyai dasar hubungan yang baik dan kukuh diperingkat antarabangsa dan negara-negara sahabat dirantau ini serta negara-negar Teluk Islam (Arab).

Selain dari itu juga kita mempunyai segala sumber tenaga ‘professional’ yang terdiri daripada anak-anak Brunei saperti pakar-pakar dalam bidang-bidang tertentu (minyak dan gis dan lain2), para bijak pandai yang berkelulusan tinggi dalam bidang-bidang saperti sain politik, ekonomi, sosial, kedoktoran, undang-undang dan kehakiman, pendidikkan, pentadbiran, kejuruteraan dan sebagainya. Semua ini adalah berkat usaha yang gigih serta kebijaksanaan pemimpin negara kita sepanjamg 25 tahun merdeka telah berhasil mengadakan dasar luar negara yang terbaik dan sumber tenaga ‘professional’ yang mantap , dimana dihasratkan dan diharapkan bahawa kesemua sumber tenaga, masa, fikiran dan modal digunakan bagi mengerakkan negara kepada tahap pembangunan yang setaraf dengan negara-negara maju dan membangun dirantau ini dan antarabangsa.

Namun demikian, jika di lihat disekeliling kita, pembangunan yang dihasrat dan diharapkan belum lagi nampak, kita masih lagi mencari-cari atau baru saja nak bermula, wal-hal pemimpin negara sering bertitah dan mengingatkan betapa pentingnya ditingkatkan usaha dalam aspek pembangunan dan kemajuan serta memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi dan nilai-nilai kerohanian rakyat.

Saya percaya dan penuh yakin, pembangunan dan kemajuan boleh kita capai dalam tempuh 25 tahun tersebut, jika semua pihak serta tenaga- tenaga professional, mengambil prihatin dengan serius terhadap titah-titah berkenaan dengan penuh kejujuran, ketulusan dan perasaan bertangung-jawap yang mendalam terhadap bangsa, agama dan negara.

Apa yang dikesali tidak ada mana-mana pihak yang mahu memulakan untuk berusaha bagi ‘menganalisa’ maksud dan hasrat yang terkandung dalam setiap titah Baginda dalam bentuk forum atau seminar untuk tujuan memberikan pandangan-pandangan serta hujah-hujah yang bernas serta dijadikan satu ketetapan (resolusi) yang akan dibuat sampai ketahap kejayaannya. (kecuali forum dan seminar mengenai konsep MIB saja yang telah diadakan).

Sehubungan dengan perkara-perkara tersebut, suka saya mengambil perhatian dan menguna pakai perkataan ‘audit’, bukan maksud untuk memeriksa kira-kira (akaun) secara rasmi, akan tetapi menguna pakai bagi tujuan ‘mengaudit’ prestasi (performance) pekerjaan, mengaudit sistem, mengaudit waktu yang digunakan dalam perlaksanaan tugas dan tanggung-jawap masing-masing daripada peringkat Jemaah Menteri hinggalah kepada keseluruhan kakitanggan Kerajaan pada setiap bulan bagi tujuan sejauh mana pencapaian terhadap hasrat dan titah-titah berkenaan telah dilaksanakan. Justeru itu Kerajaan dan rakyat mesti berkerjasama sebagai satu pasukan untuk membawa negara ini kehadapan, maju dan berjaya.

“….apa yang Beta harapkan, negara kita mustahak mempunyai pasukan untuk membawanya kehadapan bukan berundur kebelakang,….Tiap-tiap orang perlu ghairah menyertainya, jangan ada yang berkecuali. …Kemerdekaan akan hampa jika kita hanya bersikap menonton tetapi disamping menonton, rakyat juga perlu sedar dan peka dengan apa yang terjadi di hadapan mereka…., Tegasnya, dalam kontak bernegara dan bermasyarakat, tidak siapa pun yang harus terlantar sendirian, melainkan semuanya itu mestilah mendapat layanan dan pembelaan yang saksama….” Petikkan Titah Sempena Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-17 Tahun pada 23 Feburari 2001.

Justeru itu, dalam kontek membangun dan memajukan sosio-ekonomi dan nilai-nilai kerohanian rakyat, adalah amat penting bagi penggubal dasar dan pelaksana-pelaksana program Kerajaan berjiwa rakyat menepati kehendak dan keperluan negara dengan memperbaiki keupayaan jentera-jentera perancangan dan pelaksanaan program-program berkenaan saperti yang dititahkan dan dihasratkan oleh pemimpin negara kita.

InsyaAllah, dengan Izin serta Pertunjuk Allah SWT, saya akan cuba menganalisa dan membuat kajian terhadap semua Titah-Titah KeBawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam untuk dikongsikan bersama.

solagan : TITAH DIJUNJUNG, RAKYAT DIPERKASAKAN
Oleh: Dr Haji Mohd Hatta Bin Haji Zainal Abidin

No comments: